Skip to main content

Inilah Sebabnya Kenapa Anak Patung Tidak Boleh Disimpan Dalam Rumah Sekiranya Anak Sudah Besar


Baru-baru ini saya melihat seorang kanak-kanak meraung di sebuah pasar raya sambil menarik-narik lengan ibunya agar diminta untuk dibelikan patung mainan. Yang menariknya, jawapan ibunya membuatkan saya teringat beberapa kisah sama yang pernah berlaku, iaitu:

“Kamu tak boleh beli patung, nanti malaikat tak masuk rumah.”

Jawapan sebegini dan hampir sama yang digunakan oleh golongan ibu bapa untuk menghalang anak-anaknya daripada membeli atau tertarik dengan patung mainan terutamanya yang berupa seperti binatang atau manusia.

Melalui situasi di atas, ia membuatkan kita terfikir bahawa adakah benar setiap andaian yang dikatakan oleh orang tua kita. Benarkah bahawa malaikat tidak akan masuk ke dalam rumah jika ada gambar patung dan patung sendiri.

Berdasarkan pembacaan yang dilakukan, kebanyakannya memberi jawapan dan spekulasi sendiri, iaitu malaikat takut dengan patung, anjing dan seumpamanya. Malah, ada beberapa jawapan yang diberikan mengatakan bahawa malaikat tidak akan tahu perbuatan kita di dalam rumah jika adanya patung bersama kita.

Sebenarnya, dalil dan hadis daripada Rasulullah SAW mengenai pernyataan ini adalah benar, iaitu malaikat tidak akan masuk ke dalam rumah yang dibela anjing dan disimpan patung mainan yang seakan bernyawa seperti teddy bear, mainan patung perempuan dan kuda mainan. Hal ini ada disebut dalam hadis berikut:

لَا تَدْخُلُ الْمَلَائِكَةُ بَيْتًا فِيهِ كَلْبٌ وَلَا صُورَةُ تَمَاثِيلَ

“Sesungguhnya malaikat tidak akan masuk suatu rumah yang di dalamnya mempunyai anjing dan gambar patung.”(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Persoalan yang menjadi isu di sini ialah mengapa malaikat tidak akan masuk ke dalam rumah yang ada patung dan gambar? Adakah benar semua malaikat tidak akan masuk ke dalam rumah atau jenis malaikat apa yang tidak masuk? Dan, bolehkah membeli mainan yang tidak bernyawa seperti kereta dan motosikal untuk hiasan atau mainan kanak-kanak?

Boleh Hanya Untuk Kanak-Kanak
Menurut pandangan jumhur ulama’ seperti al-Qaradhawi, al-Zuhayli serta Ustaz Azhar al-Idrus mengatakan bahawa dibolehkan untuk dijadikan sebagai mainan kanak-kanak yang belum baligh. Hal ini bermaksud, dalil pengharamannya adalah dikecualikan terhadap kanak-kanak sahaja. Ia dirujuk berdasarkan sebuah kisah baginda dengan isterinya Aisyah:

Maksud: “Aisyah berkata: “Aku selalu bermain anak patung di rumah Rasulullah SAW. Adakalanya rakan-rakanku datang untuk bermain bersamaku. Suatu hari Rasulullah datang kepada kami. Kami terus bersembunyi kerana takutkan Baginda SAW. Namun begitu, Nabi SAW tidak pula kelihatan marah (apabila melihat patung mainan di tangan mereka), tetapi Nabi SAW datang dan turut kelihatan bermain dengan mereka.” (Hadis Riwayat Muslim dan Bukhari)

Menurut Imam As-Syawkani, anak patung mainan untuk kanak-kanak adalah dibolehkan dalam Islam namun berdasarkan beberapa syarat yang ditetapkan seperti bukan patung yang dijadikan bahan sembahan orang bukan Islam dan anak-anak tidak boleh terlalu taksub dengan mainan tersebut.

Mainan tersebut perlulah disimpan di tempat yang khusus seperti laci atau dalam kotak selepas dimainkan oleh mereka. Menurut pendapat Ustaz Azhar al-Idrus, beliau berkata ia tidak boleh dijadikan hiasan selepas bermain seperti meletakkannya di kepala katil atau di dalam almari.

Hal ini adalah sama perilakunya dengan menjadikan patung mainan sebagai sembahan kerana orang bukan Islam yang menyembah berhala akan menyusun berhala mereka dengan cantik dan kemas di tempat-tempat tertentu seperti almari.

Walaupun ia adalah tanpa niat untuk menyembah mainan yang dimainkan kanak-kanak, namun jika perbuatannya menyerupai kaum lain, maka ia adalah dilarang.

بعثت بين يدي الساعة بالسيف حتى يعبد الله تعالى وحده لا شريك له و جعل رزقي تحت ظل رمحي و جعل الذل و الصغار على من خالف أمري و من تشبه بقوم فهو منهم

“Aku diutus dengan pedang menjelang hari kiamat sehingga mereka menyembah Allah Ta’ala semata-mata dan tidak mempersekutukanNya dengan sesuatu pun, dan telah dijadikan rezeki aku di bawah bayangan tombakku, dijadikan kehinaan dan kerendahan bagi sesiapa yang menyelisihi perkara aku. Dan barangsiapa menyerupai sesuatu kaum, maka ia termasuk daripada mereka.”(Hadis Riwayat Ahmad)

Oleh itu, ibu bapa memainkan peranan yang penting untuk menjelaskan perkara yang betul dengan memberi ilmu dan contoh teladan dengan baik kepada anak-anak. Ajar mereka untuk tidak menjadikan anak patung sebagai sembahan, namun hanya sekadar mainan.

Dalam pendapat lain juga ada disebut bahawa alat mainan lain yang tidak bernyawa seperti kereta mainan, motosikal mainan, replika bangunan seperti KLCC atau rumah dan sebagainya selain daripada mainan yang cukup sifat dan bernyawa seperi patung Annabelle, teddy bear dan kuda mainan, adalah dibolehkan.

Hal ini kerana golongan tersebut adalah jenis yang tidak bernyawa, iaitu tidak cukup sifat. Jadi, sebagai contoh, mainan lego adalah boleh digunakan untuk mainan kanak-kanak dan juga perhiasan dengan syarat ia tidak dicantumkan secara sempurna atau cukup sifat.

Jika anak-anak telah meningkat dewasa atau sudah baligh, pasti kita akan terfikir untuk memberi mainan tersebut kepada kanak-kanak lain. Namun, ada yang memberi alasan, sayang untuk dilepaskan kerana ia adalah kenangan anak-anak sejak kecil.

Sebahagian jumhur ulama’ mengatakan bahawa adalah lebih baik memberinya kepada kanak-kanak lain. Jika dibiarkan di dalam rumah, ia tidak berusik dan malaikat tidak akan masuk. Jika tiada malaikat yang masuk, maka ketahuilah syaitan yang akan menghuni rumah kita.

Disebabkan itulah, terjadinya perkara yang tidak diingini seperti mudahnya berlaku kerasukan, rumah terasa seperti ada penghuni lain dan sebagainya.

Namun, jika tetap ingin menyimpannya, seeloknya menjadikan ia sebagai suatu yang tidak cukup sifat seperti menggunting hidung atau tangannya. Ia sekaligus menjadikan ia sebagai mainan yang tidak bernyawa. Namun, harus diingat bahawa ia tidak boleh diletak di rak-rak atau di kepala katil sebagai perhiasan. Ia tetap perlu disimpan seperti di dalam kotak.

Malaikat Apa Yang Tidak Masuk Rumah
Adakah malaikat takut kepada patung-patung mainan ini? Jawapannya adalah tidak. Malaikat tidak masuk ke dalam rumah atau kereta yang ada patung kerana ia adalah sama dengan gaya hidup orang kafir yang meletakkan berhala dan patung sebagai sembahan. Oleh yang demikian, ia tidak akan masuk ke dalamnya.

Namun, ia tidaklah bermakna tiada malaikat langsung dalam rumah tersebut. Hal ini disebut oleh Ibn Hajar yang bermaksud:

Maksud: “Imam Al-Manawi berkata: “Yang dimaksudkan dengan malaikat pada hadis tersebut adalah malaikat rahmat, malaikat yang memberi keberkatan serta yang bertugas untuk menjaga dan mengunjungi hamba Allah yang basah dengan zikir dan kalam Allah, bukan malaikat penulis amal perbuatan manusia. Ia kerana malaikat yang menulis amal tidak akan pernah meninggalkan manusia walau sekejap seperti malaikat maut yang sentiasa menjenguk manusia. (Kitab Faidhul-Qadir 2/394)

Melalui tafsir ini, dapat dibuktikan bahawa hanya malaikat rahmat (malaikat minta ampun) sahaja yang tidak akan masuk ke dalam rumah manakala, malaikat pencatat amal, iaitu Malaikat Hafazah akan sentiasa mendampingi manusia.

Kesimpulan
Banyak alat mainan yang boleh dijadikan sebagai barang mainan selain daripada yang bernyawa dan cukup sifat. Oleh itu, ia boleh dijadikan sebagai pilihan lain untuk diberikan kepada anak-anak. Ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam mendidik dan memberi pemikiran yang baik kepada mereka.

Comment Policy: Silahkan tuliskan komentar Anda yang sesuai dengan topik postingan halaman ini. Komentar yang berisi tautan tidak akan ditampilkan sebelum disetujui.
Lihat Komentar